Showing posts with label Kisah-Kisah Misteri Jam 12. Show all posts
Showing posts with label Kisah-Kisah Misteri Jam 12. Show all posts

Wednesday, February 22, 2012

BLOG RASMI DJKC MISTERI JAM 12: Cabaran Seorang Muallaf

BLOG RASMI DJKC MISTERI JAM 12: Cabaran Seorang Muallaf:



Thursday, February 9, 2012

Cabaran Seorang Muallaf

Salam kepada KC dan para pendengar, Nama saya Ammar. Saya ingin berkongsi sebuah kisah yang diceritakan oleh bapa saya tentang salah seorang rakannya bernama Rudolf, seorang Muallaf berbangsa Israel. Sebelum dia menganut agama Islam, dia merupakan penganut agama Yahudi seperti majoriti orang-orang dari negara Israel. 
Begini kisahnya. Dahulu Rudolf ada seorang temanita bernama Mariah yang dia berkawan sejak kecil lagi dan mereka adalah pasangan dan bercadang untuk berkahwin. Dia menganut agama Islam apabila dia bercuti di Singapura dan terjumpa dengan seorang hamba Allah di sini.


 Menurut ayah saya, dia tidak pernah mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'anul Karim sebelum ini, sehingga dia melalui depan sebuah masjid di sini dan terdengar seseorang sedang membaca ayat-ayat suci itu. Sebagai orang yang berasal dari negara Timur Tengah, dia tahu Bahasa Arab serta maknanya. Dia terpaku mendengar ayat-ayat suci yang dibaca dan terus menangis, lalu masuk ke dalam masjid itu dan berjumpa dengan Ustaz yang menyuruhnya untuk mengucap dua kalimah syahadah. 


 Apabila dia kembali ke Jerusalem, dia memulakan hidup baru. Suatu hari, Mariah mengajaknya ke kelub untuk berdansa dan minum arak. Dia sering memberi alasan yang dia sakit dan tidak pernah beritahu sesiapa tentang kehidupan barunya. Perkara ini berterusan sehingga pada satu ketika dia sudah cukup sabar dan tidak mahu menipu temanitanya.


 Sampai pada suatu masa yang dianggapnya sesuai, dia berterus-terang dengan Mariah tentang kehidupan barunya. Muka Mariah pucat. Kemudian dari pucat, terus membuak-buak kemarahan, dan dia mula mencaci Rudolf. Rudolf sabar sahaja. Mariah kemudian berkata dia akan membalas dendam atas perbuatan Rudolf menukar agama dan lantas Rudolf tidak lagi bertemu dengannya. Hidupnya berterusan selepas itu dengan biasa sampai satu ketika yang dia percaya dia disihir dengan sihir orang-orang Israel, sihir yang saya percaya lebih kuat dari sihir orang-orang Melayu, dan mungkin paling kuat di dunia ini dari zaman nabi dahulu kerana sihir mereka ini merupakan sihir paling purba. 


Pada satu ketika dia ternampak hantu seorang perempuan bermata satu duduk di hujung katilnya pada waktu malam. Dia membaca Surah Al-Falaq untuk perlindungan. Perempuan itu pun berkata dalam bahasa Hebrew, "Engkau penipu, aku akan datang lagi, untuk aku membinasakan kau!!!" dan terus hilang. Dia terperanjat, melihat jin mata satu kerana dia teringat tentang Dajjal yang juga bermata satu, membuatkan dia lebih takut, dan membaca lagi dan terus lelapkan mata. Rudolf juga mengalami masalah kesihatan. Tubuh badannya penuh dengan jerawat dan terus bernanah, bau badan seperti bangkai, terlalu hina sehinggakan dia dipecat. 


Kerana dia sebatang kara, dia masak sendiri. Makanan yang dia masak, selalu tidak bertahan lama. Hanya untuk satu jam. Dia pernah masak satu hidangan, yang menurut Ayah, akan basi selepas sehari. Dia tidak akan makan hidangannya selepas satu jam dan apabila hendak mencedok makanan, lipas, ulat dan lalat berada di dalam kuali. Terpaksa dia beli makanan di luar. 


 Kerana dia dibuang kerja, dia menjadi tukang sapu sampah di sana, kerana walaupun meraih segulung ijazah dalam bidang undang-undang, dia tidak diambil kerana keadaan tubuh badannya yang amat terhina. Gajinya hanya 'ngam-ngam' sahaja. Satu hari, dia mahu tidur, perempuan bermata satu itu datang lagi untuk mengganggunya. Perempuan itu berkata yang dendamnya belum lagi selesai. Cuma ada satu ubat sahaja, iaitu kembali ke agama asalnya dan berkahwin dengan Mariah. Dengan rasa marah Rudolf menghalau makhluk itu dan membaca surah Al-Kahfi. 


Dia tetap bertegas dengan agama barunya. Kemudian, datang ujian yang paling hebat, yang mungkin orang yang kesabarannya rendah tidak akan memaafkan dunia akhirat. Beberapa malam selepas malam dia berjumpa makhluk itu, Rudolf diganggu lagi. Baru sahaja beliau ingin lelapkan mata, tiba-tiba, labah-labah jenis tarantula yang teramat banyak, jatuh dari siling ke badannya dan menyengatnya. Dia terus memekik dan keluar dari rumahnya itu. Di luar, dia nampak perempuan bermata satu itu, kali ini lebih hodoh rupanya, menyeramkan, matanya terkeluar dari soket, lidah panjang menjelir dengan air liur busuk dan kulitnya berpecah-pecah.


 Rudolf sangat terkejut, dia terlupa dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan melarikan diri. Makhluk itu terbang mengejarnya. Apabila Rudolf menoleh ke belakang, wanita itu sudah hilang, dan bila toleh ke depan, wanita itu berada betul-betul di hadapan mukanya, jarak lebih kurang seinci, lidahnya menjilat wajahnya. Kemudian, dengan secara kebetulan, dia mula teringat ayat-ayat suci Al-Qur'an dan mula membaca, kali ini, satu Juz Amma dia baca. Wanita itu kemudian memekik dan terbakar. Selepas itu, Rudolf hilang kawalan dan pengsan. 


Bila dia sedarkan diri, dia berada di rumahnya, ditemui oleh jirannya di jalanraya berdekatan rumahnya. Yang peliknya, dia terperanjat, keadaan tubuh badannya sudah cantik dan tidak bernanah lagi. 


Akhirnya dia mendapat kerja yang lebih bagus selepas kejadian itu. Dia juga mendengar khabar, Mariah meninggal dunia akibat dilanggar kereta dan mukanya dilenggek dengan teruk. Sihir orang Israel ini memang amat dasyat, tidak boleh dibayangkan azabnya. Mungkin, inilah kuasa Tuhan. Ujian untuk seorang Muallaf. Sekian terima kasih... 


TERIMA KASIH AMMAR!!!

Kisah MJ12 - Kakak Disihir

Kisah ini dipetik dari blog rasmi MJ12 yang dikendalikan oleh DJ KC di Ria 89.7FM.


http://kisahmj12.blogspot.com/2012/01/kakak-disihir.html


Kakak Disihir

Assalamualaikum Dzar dan KC,

Nama saya Marfa. Saya ingin berkongsi pengalaman yang saya dan keluarga lalui sendiri. Perkara ini berlaku tahun lepas dan kini masih menghantui kami sekeluarga terutama sekali kakak saya.

Marfa mempunyai seorang kakak yang Marfa perkenalkan sebagai "Salina" (bukan nama sebenar). Kakak Marfa, Salina, merupakan seorang wanita yang pada dasarnya seseorang yang pelembut, tetapi hatinya sukar ditawan. Seandainya kalau hatinya berjaya ditawan oleh seorang lelaki, dia akan menyayanginya sepenuh hati tanpa mempedulikan apa-apa jua kekurangan pada si lelaki tersebut.

Kali terakhir kakak menjalinkan hubungan istimewa ialah beberapa tahun yang lalu. Waktu itu beliau sedang menuntut di Maktab Rendah. Ketika itu, dia menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang menuntut di sekolah yang sama dengan beliau. Hubungan hanya mampu kekal untuk beberapa tahun dan mereka putus pada tahun ketiga mereka menuntut di Universiti. Kakak memang terlalu sayangkan lelaki tersebut, dan setelah putus, kakak memang tidak berminat lagi untuk libatkan diri dalam hubungan percintaan. Beliau kemudian fokus pada pelajaran dan pencarian kerja.

Ini berterusan selama tiga tahun sehinggalah pada tahun 2008 bila kakak bertemu dengan seorang pemuda yang berjaya memikat hatinya. Dipendekkan cerita, mereka pun menjalinkan hubungan selama tiga tahun dan hampir mula membincangkan tentang perkahwinan. Sepanjang tiga tahun kakak berkenalan, pemuda melayan kakak dengan sangat baik dan sering ke rumah untuk melawat keluarga kami.

Sehinggalah suatu hari kakak menerima panggilan seorang wanita yang menggelarkan dirinya "Haslinda" (bukan nama sebenar) yang mengugut kakak saya, "Kau bahagia sekarang rampas hak orang. Kau buat orang merana. Sekejap lagi kau pulak akan merana!!!" Kakak memberitahu hal ini pada ibu dan ayah saya. Dia juga beritahu pada teman lelakinya. Sepanjang perkenalan mereka, memang tidak ada tanda pun yang menunjukkan kalau pemuda tersebut sudah berpunya.

Akhirnya teman istimewa kakak mengakui bahawa sewaktu awal perkenalan dengan kakak, dia memang masih suami pada bekas isterinya. Sebenarnya bekas isterinya itu didapati curang, tetapi memohon maaf berkali-kali supaya tidak diceraikan. Tapi pemuda sudah tawar hati dan meneruskan proses penceraian di luar pengetahuan kakak. Kemungkinan besar, bekas isteri beliau fikir kakak saya yang telah meracuni fikiran suami beliau sehingga dia diceraikan walhal penceraian berlaku kerana kecurangannya yang tak dapat dimaafkan lagi.

Dipendekkan cerita, sejurus selepas mendapat pangilan amaran tersebut, keesokan harinya, pada tiap-tiap malam, lebih tepat lagi selepas jam 12 malam hingga waktu Subuh, kakak akan menjadi "orang lain". Dengan nada suara yang garau dan seram, dia akan menjerit sambil mengilai, "Aku nak duduk sini, dalam badan ni.. Aku suka budak ni. Aku buruk. Dia cantik!!!" Makhluk itu sering mencederakan kakak dengan menghantukkan kepala kakak ke tembok, mengigit jari-jari kakak, menjerit untuk membuat kakak sakit tekak bila dia tersedar. Selain itu, dia seolah-olah mengunci mulut kakak dengan menggetap gigi kakak kuat-kuat. Perkara ini berlanjutan sehingga lapan bulan. Kami sekeluarga bergilir-gilir menjaga kakak. Perkara ini memaksa Mama berhenti kerja untuk menjaga kakak. Dia pernah cuba menguncikan diri kakak saya di tandas dan buat kakak mandi air yang sejuk sehingga menggigil. Kakak menjadi kurus tidak bermaya dan trauma disebabkan serangan sihir ini.

Setelah mendapatkan khidmat berpuluhan bomoh, akhirnya Allah menemukan kami dengan seorang ustaz yang dapat membantu. Kakak disuruh baring dan ahli keluarga kami, khususnya ayah dan abang-abang saya diarahkan memegang kakak saya. Ustaz mula membacakan ayat ayat suci Al-Qur'an, dan dibawanya sebotol air yang berisi bacaan tasbih di dalamnya. Kakak mula menjerit, "Mama tolong Salina, ni Salina mama." Ustaz kemudian menjawab, "Kalau ini betul Salina, pegang Al-Qur'an ini dan minum air ini.

Makhluk itu pun menangis dan berkata, "Aku lah... Baiklah aku balik, kau kuat sangat untuk aku..." Ustaz mula merenjis air itu dan mengusap kepala kakak dan menggenggam tangannya seolah si makhluk itu di dalam dan melemparkannya ke atas permukaan Al-Qur'an. Alhamdulillah Kakak kemudian pulih. Kakak kini sudah bertunang dengan seorang pemuda pilihan Mama dan bakal mendirikan rumahtangga hujung tahun ini. Pengalaman ini mengajar kita agar haruslah kita berhati-hati dalam memilih pasangan. Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak mengenali salah atau benar. Dan Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segalanya. Ingatlah ujian sakit dan penawar datang darinya. Terima Kasih. Assalamualaikum.

Yang Benar,

Marfa