Wednesday, February 22, 2012

Kisah MJ12 - Kakak Disihir

Kisah ini dipetik dari blog rasmi MJ12 yang dikendalikan oleh DJ KC di Ria 89.7FM.


http://kisahmj12.blogspot.com/2012/01/kakak-disihir.html


Kakak Disihir

Assalamualaikum Dzar dan KC,

Nama saya Marfa. Saya ingin berkongsi pengalaman yang saya dan keluarga lalui sendiri. Perkara ini berlaku tahun lepas dan kini masih menghantui kami sekeluarga terutama sekali kakak saya.

Marfa mempunyai seorang kakak yang Marfa perkenalkan sebagai "Salina" (bukan nama sebenar). Kakak Marfa, Salina, merupakan seorang wanita yang pada dasarnya seseorang yang pelembut, tetapi hatinya sukar ditawan. Seandainya kalau hatinya berjaya ditawan oleh seorang lelaki, dia akan menyayanginya sepenuh hati tanpa mempedulikan apa-apa jua kekurangan pada si lelaki tersebut.

Kali terakhir kakak menjalinkan hubungan istimewa ialah beberapa tahun yang lalu. Waktu itu beliau sedang menuntut di Maktab Rendah. Ketika itu, dia menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang menuntut di sekolah yang sama dengan beliau. Hubungan hanya mampu kekal untuk beberapa tahun dan mereka putus pada tahun ketiga mereka menuntut di Universiti. Kakak memang terlalu sayangkan lelaki tersebut, dan setelah putus, kakak memang tidak berminat lagi untuk libatkan diri dalam hubungan percintaan. Beliau kemudian fokus pada pelajaran dan pencarian kerja.

Ini berterusan selama tiga tahun sehinggalah pada tahun 2008 bila kakak bertemu dengan seorang pemuda yang berjaya memikat hatinya. Dipendekkan cerita, mereka pun menjalinkan hubungan selama tiga tahun dan hampir mula membincangkan tentang perkahwinan. Sepanjang tiga tahun kakak berkenalan, pemuda melayan kakak dengan sangat baik dan sering ke rumah untuk melawat keluarga kami.

Sehinggalah suatu hari kakak menerima panggilan seorang wanita yang menggelarkan dirinya "Haslinda" (bukan nama sebenar) yang mengugut kakak saya, "Kau bahagia sekarang rampas hak orang. Kau buat orang merana. Sekejap lagi kau pulak akan merana!!!" Kakak memberitahu hal ini pada ibu dan ayah saya. Dia juga beritahu pada teman lelakinya. Sepanjang perkenalan mereka, memang tidak ada tanda pun yang menunjukkan kalau pemuda tersebut sudah berpunya.

Akhirnya teman istimewa kakak mengakui bahawa sewaktu awal perkenalan dengan kakak, dia memang masih suami pada bekas isterinya. Sebenarnya bekas isterinya itu didapati curang, tetapi memohon maaf berkali-kali supaya tidak diceraikan. Tapi pemuda sudah tawar hati dan meneruskan proses penceraian di luar pengetahuan kakak. Kemungkinan besar, bekas isteri beliau fikir kakak saya yang telah meracuni fikiran suami beliau sehingga dia diceraikan walhal penceraian berlaku kerana kecurangannya yang tak dapat dimaafkan lagi.

Dipendekkan cerita, sejurus selepas mendapat pangilan amaran tersebut, keesokan harinya, pada tiap-tiap malam, lebih tepat lagi selepas jam 12 malam hingga waktu Subuh, kakak akan menjadi "orang lain". Dengan nada suara yang garau dan seram, dia akan menjerit sambil mengilai, "Aku nak duduk sini, dalam badan ni.. Aku suka budak ni. Aku buruk. Dia cantik!!!" Makhluk itu sering mencederakan kakak dengan menghantukkan kepala kakak ke tembok, mengigit jari-jari kakak, menjerit untuk membuat kakak sakit tekak bila dia tersedar. Selain itu, dia seolah-olah mengunci mulut kakak dengan menggetap gigi kakak kuat-kuat. Perkara ini berlanjutan sehingga lapan bulan. Kami sekeluarga bergilir-gilir menjaga kakak. Perkara ini memaksa Mama berhenti kerja untuk menjaga kakak. Dia pernah cuba menguncikan diri kakak saya di tandas dan buat kakak mandi air yang sejuk sehingga menggigil. Kakak menjadi kurus tidak bermaya dan trauma disebabkan serangan sihir ini.

Setelah mendapatkan khidmat berpuluhan bomoh, akhirnya Allah menemukan kami dengan seorang ustaz yang dapat membantu. Kakak disuruh baring dan ahli keluarga kami, khususnya ayah dan abang-abang saya diarahkan memegang kakak saya. Ustaz mula membacakan ayat ayat suci Al-Qur'an, dan dibawanya sebotol air yang berisi bacaan tasbih di dalamnya. Kakak mula menjerit, "Mama tolong Salina, ni Salina mama." Ustaz kemudian menjawab, "Kalau ini betul Salina, pegang Al-Qur'an ini dan minum air ini.

Makhluk itu pun menangis dan berkata, "Aku lah... Baiklah aku balik, kau kuat sangat untuk aku..." Ustaz mula merenjis air itu dan mengusap kepala kakak dan menggenggam tangannya seolah si makhluk itu di dalam dan melemparkannya ke atas permukaan Al-Qur'an. Alhamdulillah Kakak kemudian pulih. Kakak kini sudah bertunang dengan seorang pemuda pilihan Mama dan bakal mendirikan rumahtangga hujung tahun ini. Pengalaman ini mengajar kita agar haruslah kita berhati-hati dalam memilih pasangan. Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak mengenali salah atau benar. Dan Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segalanya. Ingatlah ujian sakit dan penawar datang darinya. Terima Kasih. Assalamualaikum.

Yang Benar,

Marfa

No comments:

Post a Comment